Tuesday, March 6, 2012

Jadikan Inovasi Satu Budaya Kehidupan

INOVASI adalah perubahan cara berfikir untuk mendapatkan hasil atau produktiviti yang lebih baik dari semasa ke semasa. Ia bukan hanya berkaitan sains dan teknologi semata-mata. Inovasi dan kreativiti sebenarnya merentasi semua lapisan masyarakat dan merangkumi semua aspek kehidupan, pembangunan dan kemajuan. Ia melibatkan penemuan yang memudahkan proses kerja dan dalam masa yang sama meningkatkan produktiviti atau mutu hasil kerja secara ketara. Ini termasuklah inovasi teknologi yang melibatkan penghasilan rekacipta bahan baru, dan inovasi sosial yang merangkumi kaedah baru dalam mengurus masyarakat, memudahkan proses kerja dan menyelenggara maklumat. Inovasi juga bukan hanya untuk golongan profesional tetapi perlu difahami oleh masyarakat dari pelbagai taraf sosial tidak kira di bandar atau pedalaman.

‘‘Inovasi kini menjadi pemacu ekonomi negara dalam kita menghadapi cabaran-cabaran global kini. Inovasi bukan milik sesiapa tetapi boleh dimiliki oleh semua, dan jika dijadikan budaya dan amalan hidup ia boleh memperkasakan sesebuah bangsa. Inovasi adalah kunci kepada kemakmuran dan ketamadunan sesebuah negara. Kita sedar bahawa untuk menjayakan agenda inovasi negara, inovasi seharusnya ‘dimasyarakatkan’ demi memastikan ia dekat di hati rakyat dan mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat. Memasyarkatkannya terlebih dahulu adalah penting sebelum kita bertindak untuk membudayakannya dalam kehidupan harian.

Seorang petani boleh melakukan inovasi dengan mengubah pisau atau peralatan yang digunakan di ladang supaya mampu menghasilkan lebih banyak produktiviti. Seorang nelayan yang mengubah suai jala untuk menangkap lebih banyak ikan juga melakukan inovasi. Kedua-dua contoh ini adalah inovasi akar umbi. Kuih yang dijual di kampung dan dibungkus dengan menarik mungkin boleh dijual pada harga yang lebih tinggi. Bungkusan baru yang lebih menarik adalah satu inovasi. Nasi lemak yang dijual di kafe gedung membeli-belah lebih mahal berbanding nasi lemak yang disediakan menggunakan ramuan yang sama dan dijual di warung-warung di kampung. Setiausaha Presiden Persatuan Gerak Inovasi Malaysia (InoMa), Syed Aliwi AlQudri berkata, masyarakat Malaysia bagaimanapun tidak mengiktiraf perubahan dan pembaharuan sebagai inovasi. Jadi, kesedaran mengenai kepentingan inovasi perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat seiring dengan kemajuan negara dan perubahan global,” jelasnya ketika ditemui semasa Program Gerak Inovasi di SMK Hang Kasturi, Masjid Tanah, Melaka baru-baru ini yang bertemakan Melestarikan Pembudayaan Inovasi Dalam kehidupan” anjuran Persatuan Gerak Inovasi Malaysia(InoMa)

‘‘Banyak penyelidikan yang dilakukan oleh para profesor tersekat di universiti sekarang kerana para profesor berkenaan adalah ahli akademik dan bukannya orang bisnes. Jadi, agak sukar untuk mereka mewujudkan bisnes hasil daripada penyelidikan yang dilakukan. ‘‘Banyak teknologi yang ada potensi global tetapi terkandas di universiti. Justeru, matlamat InoMa adalah untuk mencari teknologi dan fikirkan bagaimana untuk mengkomersialkan semua itu bagi meningkatkan pendapatan pengusaha-pengusaha di kawasan luar bandar”.‘‘Inovasi mesti meningkatkan kualiti hidup, menjana pendapatan serta menjadikan ekonomi Malaysia lebih besar dari semasa ke semasa. Saya sedar tanggungjawab membawa pembaharuan dan menjadikan inovasi satu budaya di Malaysia tidak mudah. Cabaran yang hadapi setakat ini adalah mengubah minda masyarakat untuk menerima pembaharuan demi meningkatkan ekonomi. Orang Malaysia lebih gemar hidup dalam zon selesa tanpa sebarang perubahan. Kita perlu mencontohi budaya di Lembah Silikon, Amerika Syarikat di mana jaringan banyak diwujudkan dan masing-masing berkongsi kelebihan dan kekurangan untuk berkolaborasi meningkatkan pendapatan.

Turut hadir dalam program ini adalah Datuk Prof Madya Dr. Abu Bakar Mohamad Diah(Presiden InoMa), Dr Zahir Bin Hassan(Timbalan Presiden InoMa),Siti Fazilah Binti Arifin(Setiausaha Kerja InoMa), Prof. Madya Dr. Ir. Sivarao A/L Subramonian (Biro Latihan & Peneribatan InoMa), En. Imran Syakir Bin Mohamad,Hj Ismail Sulaiman(Pengetua SMK Hang Kasturi) dan warga sekolah.

No comments:

Post a Comment