Tuesday, March 6, 2012

Inovasi Mencipta Kekayaan Masyarakat

Kerajaan telah mengisytiharkan tahun 2012 sebagai Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) dengan matlamat menggerakkan agenda pembangunan negara menerusi pembudayaan sains dan inovasi di kalangan rakyat Malaysia. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membudayakan dan mengamalkan inovasi di setiap lapisan masyarakat, semua pihak sama ada sektor awam atau swasta, individu, komuniti dan badan bukan Kerajaan mempunyai peranan untuk mencetuskan inovasi kerana inovasi merentasi pelbagai bidang dan mempunyai impak ke atas sosio-ekonomi negara. Berlandaskan berlandaskan keyakinan terhadap sains dan inovasi akan membawa kepada penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat serta lonjakan transformasi negara iaitu menjadi sebuah negara inovasi atau Innovation Nation menjelang 2020. Persatuan Gerak Inovasi Malaysia(InoMa) telah mengadakan Program Gerak Inovasi baru-baru ini bertempat di SMK Hang Kasturi Masjid Tanah, Melaka. Menurut Syed Aliwi AlQudri, Setiausaha InoMa Kebangsaan, tujuan diadakan program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran di kalangan pelajar luar bandar mengenai kepentingan inovasi dalam kehidupan kita. Antara program yang dijalankan adalah ceramah mengenai inovasi, pertandingan melukis kereta inovasi masa depan dan pameran inovasi. Program ini melibatkan pelajar-pelajar SMK Hang Kasturi dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Menurut Presiden Persatuan Gerak Inovasi Malaysia(InoMa) Datuk Prof Madya Dr Abu Bakar Mohamad Diah, hasrat kerajaan membina mercu tanda bangsa berinovasi memerlukan pengisian yang signifikan dan bererti. Kerajaan melancarkan Malaysia Inovatif 2010, telah menggagaskan idea total inovation. Selaras dengan gagasan total inovation dalam membudayakan inovasi dan kreativiti ini, kerajaan ingin mengajak seluruh masyarakat untuk melaksanakan inovasi secara terangkum dan menyeluruh. Penzahiran inovasi terangkum menuntut langkah-langkah transformatif ke arah mengarus-perdanakan budaya inovasi yang merentasi semua segmen sosial dan ekonomi negara serta langkah menterjemahkan pelaksanaannya ke dalam keseluruhan aspek kehidupan rakyat tanpa mengira batas-batas fizikal dan kemanusiaan.

Masyarakat perlu disedarkan bahawa inovasi bukanlah milik eksklusif para saintis, teknologis dan ilmuan semata-mata. Inovasi terangkum menuntut suntikan inovasi dibuat ke dalam setiap aktiviti ekonomi yang melibatkan pelbagai kelompok dan lapisan masyarakat. Pewujudan ekosistem dan persekitaran yang kondusif adalah kritikal untuk memastikan budaya kreativiti dan inovasi dapat berakar umbi serta tumbuh menjalar di dalam jiwa dan sanubari setiap lapisan masyarakat. Inovasi terangkum menuntut peranan yang lebih bermakna dari pelbagai pihak - institusi penyelidikan, universiti, sektor awam dan swasta, pihak industri serta rakyat jelata, termasuk pengusaha industri kecil dan sederhana, petani dan nelayan.

Penggemblengan usaha padu ke arah penerokaan dan penjanaan kreativiti dalam melahirkan inovasi dan penciptaan nilai tambah amat diperlukan untuk menjayakan agenda ekonomi negara. Usaha-usaha dipergiatkan untuk mewujudkan government-comunity linkage yang menekankan strategic collaboration di antara tenaga pakar-pakar dan penyelidik-penyelidik di institusi-institusi pengajian dan agensi Kerajaan. Pendekatan ini amat penting dalam usaha menjana dan mencambah inovasi secara bersepadu bagi memesatkan lagi pembangunan dan kemajuan negara.

No comments:

Post a Comment